Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut: 1. Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu; 2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu; 3. Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu; 4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik; 5. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu; 6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya; 7. Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya; 8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu; 9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu; 10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu; 11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu; 12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan; 13. Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat; 14. Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.